Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Tuesday, August 6, 2013

Talkin UMNO Najib

Minoriti Menguasai Majoriti.

UMNO sewaktu kelahirannya mempunyai aura paling mantap, tiada kosmetik dalam kerja buatnya. Hari ini, sejak saya mempimpin UMNO selaku Presiden saban hari saya melihat aksesori dan kosmetik semata-mata. Ketujuh-tujuh deria kurnia Allah pada saya tidak lekang melihat, menghidu, mendengar, merasa dan memikir bagaimana boleh perkara-perkara ini melanda UMNO? Apakah dosa UMNO atau pemimpin-pemimpin seperti saya dalam UMNO banyak melakukan dosa? Benar saya tidak lari daripada melakukan khilaf, kendatipun khilaf atau kesilapan saya dihukum, saya makin dewasa dan segera bertaubat. Justeru saya mengajak seluruh perwakilan, Timbalan Presiden dan barisan di atas pentas ini untuk segera bertaubat dan tidak lagi melakukan dosa kepada umat. Andai Allah menghukum parti UMNO, kami barisan kepemimpinan redha atas segala khilaf/dosa-dosa yang kami lakukan. InsyaAllah tuan-tuan, malam ini kita akan adakan Majlis Solat Taubat dan Dzikir Perdana secara terbuka di Dewan Tun Razak 3, yang akan dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Johor dan Kerajaan Selangor.

Saya tertawan bila mana membaca ribuan blog yang merayap dalam sarang teknologi khasnya berkenaan isu-isu politik Malaysia. Saya terkesima dengan telahan seorang pemikir sejarah bernama Mohd Jaafar Kassim, bekas guru di Rembau yang masih aktif dalam kerja khidmat negara bersama Agensi Kerajaan Persekutuan. Kata kutip beliau "minoriti menguasai majoriti", bukan lagi sandiwara. Pandangan kritis ini amat benar sebenarnya. Fenomena minoriti menguasai majoriti menjadi realiti kali pertama pada 13 Mei 1969. 

Kini, selepas beberapa keputusan pilihanraya umum khasnya selepas 2004, diikuti 8 Mac 2008 seterusnya 5 Mei 2013, ternyata amat benar bahawa semakin galak "minoriti" menguasai majoriti. Saya hendak tanya orang UMNO dalam Dewan ini faham ke maksud "minoriti menguasai majoriti ini"? Atau buat-buat angguk faham, sebab merasakan ini semua pemikiran karut marut? Mana mungkin wujud senario begini? Saya akan tunjukkan kepada Tuan-Puan, bagaimana fenomena ini benar dalam perkiraan seorang Presiden UMNO.

Almarhum Ayahanda saya pernah berpesan bahawa berilah kasih sayang kepada umat Melayu, berilah sayang kepada Kaum-kaum Lain, rupa-rupanya maksud tersirat Almarhum Ayahanda Tun Abdul Razak merujuk episod iaitu kekayaan ekonomi yang dikuasai hampir 80% oleh Kaum Cina yang secara realitinya minoriti dalamm negara ini, masih tekal. Begitu juga kefahaman lebih kecil minoriti dalam minoriti ini yang mendukung fahaman sempit dan songsang Komunis dalam parti-parti politik tertentu, hingga mengakibatkan kesan buruk kepada pola fikir rakyat. Sebaran virus Komunisme secara rangkaian atau "viral" lewat Disember 2012 yang dibantu oleh beberapa orang warganegara keliru indentiti kerakyatannya, nampak sudah menembusi benteng dan tembok-tembok nasionalisme dan patriotisme yang kita bina sejak 31 Ogos 1957.

Oleh yang demikian untuk mengelak suasana lebih buruk berlaku, dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 2013 saya bercadang untuk membentang beberapa syor khas sebagai bahan perbincangan dan UMNO mengambil keputusan drastik untuk melaksanakan pendekatan-pendekatan terbaik yang kita yakin boleh membatu proses kefahaman bernegara untuk rakyat:

1. Semua pegawai dan kakitangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan mengikuti skim latihan 4 hari dan 3 malam, Kursus Transformasi Negara di bawah program khas BTN. Kehadiran mandatori.

2. Semua pegawai dan kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Agensi Berkanun secara mandatori mesti mengikuti skim latihan khas 5 hari dan 4 malam, Kursus Transformasi dan Integriti Nasional di bawah program khas IIM dan BTN.

3. Semua pemimpin mahasiswa di IPTA dan IPTS dalam Negara secara mandatori akan mengikuti Kursus Teras Kepemimpinan Nasional selama 7 hari dan 6 malam di bawah program khas BTN, IIM, VAT 69 dan PASKAL.

4. Semua pemimpin mahasiswa luar Negara secara mandatori akan mengikuti Kursus Teras Kepemimpinan Nasional selama 10 hari 9 malam di bawah program khas Tun Razak Young Leadership Program yang dirangka laksana oleh Alumni TRYLA-MIM, bersama KD Panglima Hitam (PASKAL) dan Pejabat Perdana Menteri.

5. Semua mahasiswa IPTA dan IPTS dalam Negara dan Luar Negara warganegara Malaysia yang mendaftar diri sebagai pelajar Universiti dan Kolej Universiti akan DIWAJIBKAN mengikuti siri latihan Patriotisme Malaysia selama 3 hari dan 2 malam.

Kelima-lima langkah ini bertujuan memberi input-input ilmu pada tahap-tahap tertentu. Saya pun tidak peduli sama ada selepas kursus ini mereka bertindak menyokong BN atau tidak. Saya amat kisahkan ialah mereka sedar bahawa Negara ini memegang faham Ahlul Sunnah Wal Jamaah, bermazhab Imam Syafie. Negara ini meletak Islam sebagai Agama Persekutuan, dan muktamad. Tiada kompromi perihal isu Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu.

1 comment:

Blog Archive