Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Saturday, September 12, 2009

Kilat dan Petir

Kejadian kilat dan petir menuntut umat masa kini untuk berfikir mengenai fenomena yang berlaku kerana korban jiwa dan harta yang berlaku di seluruh dunia semakin banyak berlaku.

Satu kekuatan luar biasa dan menakjubkan muncul dari partikel positif dan negatif yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, menunjukkan bahawa petir dan guruh diciptakan dengan tujuan tersendiri seperti yang diterangkan dalam surah Ar Rad: Menerusi terjemahan ayat 12 hingga13, yang bermaksud:

"Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan kamu (dari panahan petir), dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia yang menjadikan awan tebal yang berat dengan air."

"Dan Dialah juga guruh, petir dan malaikat bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya, dan Dialah yang juga menghantarkan petir, lalu Dia mengenakan dengan panahnya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasanya) padahal Dia amat keras azab seksa-Nya."

Daripada ayat Al Quran ini (sila rujuk Tafsir Al Azhar, Prof. Hamka Juzu' 13), kita mendapati sikap Petir (guruh) dan Halilintar (kilat) yang bertasbih dan memuji-Nya walaupun hayat bagi kilat adalah tidak lama. Prof. Hamka menyatakan, walaupun kilat terhasil akibat persentuhan cas-cas elektrik di dalam awan serta pertembungan dengan ion-ion atmosfera dan bersifat tidak kekal, kilat ini masih ada keinginan untuk bertasbih. Sikap memuji ini ditetapkan sebagai sikap ubudiyyah (kehambaan) petir dan kilat kepada pencipta-Nya.

Setiap atom dan zarah halus bukannya bersifat gerakan rawak tak menentu. Sebaliknya setiap atom dan zarah yang tak terhitung banyaknya ini juga dibawa dan digerakkan oleh Malaikat atas perintah Allah SWT. Malaikat yang banyak ini dicipta untuk memandu serta menembungkan cas-cas udara sehingga terhasilnya petir yang dahsyat. Tetapi lebih menghairankan, para Malaikat sendiri bertindak memuji Allah atas kejadian petir hasilan Malaikat itu. Ini menerangkan kepada kita bahawa petir bukan suatu fenomena yang tiada keterikatan dengan Aqidah dan keTuhanan, sebaliknya penjelasan terperinci ini memandu kita dalam membuat perbahasan cuaca dan fenomena alam.

Allah SWT secara jelas menarik perhatian umat Islam mengenai petir di dalam al-Quran. Kita wajib berfikir dan bersyukur bahawa guruh yang mungkin belum pernah difikirkan oleh kebanyakan orang, dapat menimbulkan perasaan takut dan pengharapan dalam diri manusia, selain meningkatkan taqwa kepada Allah SWT.

Kilat dan Petir

Pembentukan kilat dan petir itu sendiri dalam ilmu sains terbukti berfungsi untuk kitaran nitrogen. Arus elektrik yang kuat ini memecahkan molekul-molekul nitrogen yang boleh larut dalam air dan sekaligus boleh dimanfaatkan oleh tumbuh-tumbuhan, sekali lagi membuktikan bahawa petir diciptakan dengan kearifan yang khusus.

Secara semulajadi, gas tidak mengalirkan elektrik tetapi jika diberi keupayaan elektrik yang tinggi, gas tersebut boleh mengalirkan elektrik. Fenomena itulah yang dipanggil kilat. Kilat terjadi apabila udara turun naik di dalam awan ribut petir, mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera yang cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. Pergerakan awan yang disebabkan tiupan angin yang kuat, menyebabkan zarah-zarah awan bercas. Hasil geseran antara zarah serta angin yang laju biasanya menyebabkan pembentukan awan-awan bercas lebih besar. Ia juga menyimpan tenaga elektrik yang besar dan panahan kilat yang terhasil juga lebih teruk.

Kilat boleh terjadi sama ada di dalam awan, dari awan ke awan, atau antara awan dengan permukaan bumi. Kilat kerap menyambar di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 16 kilometer dari kawasan hujan berkenaan. Udara kawasan dipanah kilat menjadi panas dan mencapai suhu melebihi 27,000 ºC, lebih panas daripada permukaan matahari. Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan renjatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh.

Kilat adalah cahaya terang yang terbentuk sewaktu pelepasan elektrik di atmosfera ketika hujan ribut. Petir boleh berlaku ketika regangan elektrik pada dua titik terpisah di atmosfera dalam satu awan, atau antara awan dan permukaan tanah, atau antara dua permukaan tanah. Petir adalah kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi guruh. Ia berkembang secara menyisi dan menegak menjadi awan padat yang lebih besar yang disebut sebagai awan kumulosnimbus, dengan pergolakan kuat di dalamnya dan aliran keluar yang kuat di bawah dasarnya.

Tenaga yang Dihasilkan oleh Kilat

Sekali kilat menyambar, ia memiliki tenaga yang boleh menyalakan sebuah lampu 100 watt selama lebih tiga bulan. Satu sambaran kilat mengandungi kekuatan elektrik sebesar 20,000amp. Kilat bergerak dengan kecepatan 150,000 kilometer sesaat, atau separuh kecepatan cahaya dan 100,000 kali ganda lebih cepat daripada suara.

Kilat terjadi dalam bentuk sekurang-kurangnya dua sambaran. Pada sambaran pertama, muatan negatif mengalir dari awan ke permukaan tanah. Sejumlah kilat bercabang biasanya dapat dilihat menyebar keluar dari jalur kilat utama. Ketika sambaran pertama ini tiba di permukaan tanah, satu muatan bertentangan terbentuk pada titik yang akan disambarnya dan arus kilat kedua yang bermuatan positif terbentuk dari dalam jalur kilat utama, terus menuju ke awan.

Dua kilat berkenaan biasanya bertemu kira-kira 50 meter di atas permukaan tanah. Arus pendek terbentuk di titik pertemuan antara awan dan permukaan tanah itu dan hasilnya, satu arus elektrik yang sangat kuat dan terang mengalir dari dalam jalur kilat utama menuju awan. Perbezaan tegangan aliran elektrik antara awan dan permukaan tanah ini melebihi beberapa juta volt.

Panahan Petir

Seorang saintis berkata, kilat mampu menyambar semua benda yang terdedah di permukaan bumi, seperti bangunan, tangki, pokok, puncak bukit, kenderaan, menara telekom, lampu, haiwan dan manusia yang berada di luar rumah ketika ribut petir seperti ahli sukan, pemain golf dan pejalan kaki.

Kejutan elektrik yang dipancarkan dari petir adalah berbahaya. Sama seperti mereka yang terkena kejutan elektrik, panahan petir ini boleh menyebabkan mangsa mengalami kelecuran kulit. Pada masa yang sama, ia juga boleh mencederakan organ-organ dalaman, menghentikan fungsi jantung dengan mengganggu sistem elektrik tubuh dan merosakkan sistem saraf.

Profesor Madya Dr. Roslan Md. Nor (UM) mengatakan, selain itu, ia boleh mengakibatkan degupan jantung terhenti dan mangsa memerlukan bantuan kecemasan. Berbeza dengan kejutan elektrik biasa, orang lain masih boleh menyentuh mangsa kerana tiada lagi aliran elektrik pada tubuhnya. "Ia agak berbeza dengan kejutan elektrik biasa kerana panahan petir sekalipun tenaganya besar, tetapi hanya sekali saja. Sebaliknya, kejutan elektrik biasa akan mengalir dalam tubuh secara berterusan dan orang lain tidak boleh menyentuh mangsa. Jantung menggunakan sistem saraf yang bersifat elektrik untuk mengawal proses pengepaman darah, sama ada mempercepat atau memperlahankan degupan, bergantung mengikut keadaan", jelas beliau.

Tip ketika petir

1. Tidak berada di luar rumah ketika hujan lebat yang disertai kilat dan petir
2. Berteduh dalam bangunan.
3. Jika dari jauh, kelihatan kilat menghala ke arah kita dan ketika itu kita sedang bermain bola, berenang atau memancing, seeloknya berhenti melakukan aktiviti tersebut.
4. Elakkan:
* Berada di kawasan lapang seperti di tengah padang bola.
* Berteduh di bawah struktur-struktur yang tinggi seperti di bawah pokok, atau tiang bendera
* Jika kita dalam keadaan basah, ia akan mengalirkan arus elektrik jika dipanah petir.
* Jika tidak mempunyai pilihan ketika itu, kita disaran supaya duduklah di tengah-tengah padang. Andainya hanya terdapat sebatang pokok saja di situ, sebaik-baiknya, kita duduk di tengah padang dengan mengecilkan diri seboleh mungkin seperti duduk mencangkung.
* Pastikan kedudukan kita ketika itu dengan pokok yang ada sejauh dua kali ganda dengan ketinggian pokok tersebut.
* Berada hampir dengan logam atau bahan pengalir elektrik yang bersambung di tempat tinggi seperti menara komunikasi.
* Menggunakan telefon talian tetap.
* Jika berada di atas sampan atau bot, pergilah segera ke pantai jika melihat ada tanda-tanda kilat.
* Panahan petir pada air boleh terkena kepada sesiapa yang berada di kawasan tersebut.

P/S: Terima kasih kepada Siti Fatimah a.k.a MMA atas carian @ sumbangan artikel ini.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive